Friday, 17 October 2014

Bekas pesakit kanser tulang menjadi model

SEORANG bekas pesakit kanser tulang dari Hastings di Timur Essex, England berjaya mendapatkan kontrak sebagai model.

Elesha Turner, 20, dikesan menghidap kanser pada 2013 dan doktor memberi amaran bahawa kakinya mungkin terpaksa dipotong.



Bagaimanapun, kecekalan Turner berjaya menyelamatkan kakinya dan kini beberapa tulang di bahagian paha termasuk lutut terpaksa dibuang dan digantikan dengan titanium.

Elesha berkata, ketika dia mula-mula didiagnosis menghidap kanser, hidupnya umpama sudah berakhir. Namun, selepas melakukan pembedahan hidupnya kembali ceria apabila disahkan bebas dan pulih daripada penyakit itu. "Bukan mudah bagi saya berhadapan dengan situasi ini. Selepas pembedahan, saya terpaksa menunggu selama dua minggu sebelum doktor mengesahkan saya bebas daripada kanser," katanya kepada Daily Mail .

Menurut Elesha, impiannya memang mahu menjadi seorang model namun tidak memiliki ketinggian yang mencukupi.

Tuah gadis cantik ini akhirnya menjelma apabila dia terbaca satu artikel mengenai sebuah syarikat yang mencari model daripada kalangan orang kurang upaya.

"Selepas membaca artikel itu, saya terus menghubungi syarikat itu dan lulus uji bakat. "Kini, saya bakal menjadi penghias dan model kepada kempen syarikat tersebut," katanya.

Kata Elesha lagi, dia mahu menjadi contoh dan inspirasi kepada bekas pesakit kanser untuk menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.

Sumber : Sinar Harian

Trek atas bumbung

SEBUAH sekolah rendah di Tintai di wilayah Zhejiang, China terpaksa membina trek olahraga di atas bumbung kerana kekurangan tanah di sekitar sekolah itu.



Guru Besar sekolah tersebut, Qiu Tianguo berkata, pembinaan trek 200 meter itu adalah untuk memenuhi keperluan 1,600 pelajar untuk subjek pendidikan jasmani lapor Daily Mail.

Bagi memastikan keselamatan pelajar, ia dibina dengan tiga lapisan pelindung di mana lapisan paling luar adalah dinding kaca setinggi 1.8 meter, dan bahagian paling dalam berdekatan trek setinggi 1.2 meter. Selain itu, terdapat juga beberapa kamera pengawasan bagi memantau aktiviti pelajar.

Menurut ketua arkitek Ruan Hao, keadaan atas tanah yang terhad tidak memberi ruang cukup kepada pelajar untuk membuat latihan di luar kelas. Justeru pihaknya memilih untuk mencuba konsep baharu iaitu taman permainan dan trek tidak semestinya berada di atas tanah.

Reka bentuk berkenaan telah mendapat pengiktirafan di seluruh dunia setelah mewakili China ke Pameran Senibina Vanice ke-14 tahun ini.

Sumber : Sinar Harian