Thursday, 9 October 2014

Cengkerik hidup dalam telinga

Bayangkan jika ada sesuatu benda berada di dalam telinga anda...di India (Villupuram) seorang pesakit yang mengadu mengalami gatal luar biasa terkejut apabila mendapati seekor cengkerik hidup di dalam telinganya.

Doktor di Pusat Kajian Villupram, Tamil Nadu mengeluarkan serangga berukuran dua inci dari telinga lelaki yang dirahsiakan namanya menggunakan penyepit.



Sebaik doktor memasukkan penyepit di dalam telinga, cengkerik itu cuba merangkak lebih dalam, tetapi doktor berjaya menariknya keluar dan pesakit berkenaan dilapor selamat.

Menurut doktor, serangga berkenaan tidak boleh menyengat bahagian dalaman telinga tetapi ia boleh mengakibatkan masalah pendengaran dan keseimbangan badan. - Agensi

Sumber : Harian Metro

Hampir mati tercekik

Kinshaha: Seorang remaja yang berdepan dengan kemungkinan mati tercekik kerana ketumbuhan sebesar biji bola sepak pada rahangnya berjaya di selamatkan selepas menjalani pembedahan.

Grace, 17, dari Republik Demokratik Congo mungkin mati jika ketumbuhan pada tulang rahangnya terus membesar. Ketumbuhan itu membesar dari tengah tulang rahangnya, hasil pembentukan sel yang biasanya membentuk enamel gigi.



Bagaimanapun, Grace boleh bercakap dan makan tetapi tepaksa berhenti sekolah kerana malu. Sebuah hospital kebajikan, Mercy Ships menawarkan bantuan menjalankan pembedahan selama empat jam untuk membuang ketumbuhan itu, rahang bawah dan giginya selepas hospital tempatan gagal membantu.

Grace menderita akibat ketumbuhan itu sejak 10 tahun lalu. “Ia mula bengkak sedikit saja tetapi lama-kelamaan ia membesar. “Kami ke hospital tetapi doktor tidak tahu apa yang hendak dilakukan,” kata Grace. Ibunya, Christine berkata, pihak hospital tempatan hanya bercakap tetapi tidak melakukan apa-apa.

Penderitaan yang dialami Grace itu disiarkan di Internet dan seorang pembaca mengesyorkan dia meminta bantuan Mercy Ships yang mengendalikan hospital kapal terbesar di dunia - Africa Mercy - yang menyediakan perkhidmatan kecemasan secara percuma kepada pesakit yang amat memerlukan.

Kehidupan Grace berubah sama sekali selepas pembedahan itu. Dengan keyakinan baru yang diperolehnya, Grace berharap untuk mengikuti kursus perubatan dan menjadi jururawat supaya dapat membantu mereka yang menghadapi masalah sepertinya pada masa depan.

“Saya ingin bekerja secara sukarela dengan Mercy Ship, untuk membantu orang ramai,” katanya.- AFP

Sumber : Harian Metro

Tapak kaki wanita hadap ke belakang

Chongqing: Seorang wanita yang dilahirkan dengan tangan dan kaki yang luar biasa mengejutkan doktor mengenai perkembangannya.

Walaupun dilahirkan dengan tangan dan kaki menghadap ke belakang, Wang Fang, berjaya menjalani kehidupan normal. Doktor mulanya bimbang Wang tidak akan dapat berjalan dengan baik kerana keadaan kakinya itu.

Bagaimanapun, pelayan restoran yang kini berusia 30-an berkata, dia tidak melihat dirinya cacat.



“Saya boleh berlari lebih laju berbanding rakan saya dan mempunyai kerja tetap sebagai pelayan di restoran milik keluarga. Tiada alasan untuk menganggap saya cacat,” katanya. Dia yang mempunyai anak dengan kaki yang normal berkata: “Saya boleh berjalan seperti orang lain. Saya sama seperti orang lain, kecuali terpaksa memakai kasut terbalik.

Wang bukan satu-satunya orang yang yang berjaya mengatasi kecacatan ganjil. Sebelum ini, Claudio Vieira de Oliveira dari Brazil berjaya menjadi penceramah umum walaupun dilahirkan dengan kepalanya terbalik. - Agensi

Sumber : Harian Metro