Wednesday, 10 September 2014

Marahkan suami buang anak

GARA -gara tindakan tidak berhati perut meninggalkan anak kembarnya di koridor sebuah blok pangsapuri di timur laut Romania, seorang wanita berdepan tuduhan melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak dan hilang hak penjagaan anak-anaknya.



Mihaela Boghian, 32, didakwa meninggalkan Antonia dan Iasmina, 8 bulan, di bandar Piatra Neamt kerana mendapat kerja sebagai pemetik buah di sebuah ladang di Britain. Bapa kanak-kanak itu, Marius Boghian, 35, yang bekerja di Jerman berkata, dia bergegas ke Romania selepas menonton berita di televisyen yang memaparkan wajah anak kembarnya itu.

“Saya selalu menonton berita di Romania menerusi internet, dan ketika wajah anak saya dipaparkan, saya terkejut. Saya cuba hubungi isteri tetapi tidak dapat. Kemudian saya menghubungi polis dan mereka mengesahkan itu memang bayi saya,” katanya. Difahamkan menurut laporan Daily Mail, suspek bertindak meninggalkan bayinya kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang dikirim Marius untuk penjagaan anak-anak dan berasa terbeban.

Pengarah Penjagaan Kanak-kanak Tempatan, Cristina Pavaluta berkata, suspek dikatakan telah menyedari kesilapannya, dan inginkan kembali anak kembarnya itu. Namun, kanak-kanak itu akan kekal di bawah jagaan bapanya dengan dipantau pekerja sosial sehingga siasatan selesai.

Sumber : Sinar Harian

Cacat bukan penghalang

JIKA melihat kepada keadaan fizikalnya dengan leher terlipat ke belakang, pasti tiada siapa menyangka insan istimewa ini sebenarnya adalah seorang akauntan dan penceramah awam.

Nyata, kecacatan Claudio Vieira de Oliveira, 37, dari Monte Santo, Brazil yang menderita penyakit arthrogryposis iaitu keadaan menyebabkan sendi melengkung di beberapa kawasan badan ketika dilahirkan bukanlah penghalang untuk dia mengecap kejayaan sama seperti manusia normal lain. Selepas dilahirkan, pasukan perubatan memberitahu ibu Claudio yang dia tidak akan mampu untuk terus hidup. Namun, Claudio membuktikan sangkaan mereka meleset dan dia masih hidup sehingga ke hari ini.



Ketika berusia lapan tahun, Claudio mula berjalan menggunakan lutut dan keluarganya terpaksa menukar lantai rumah supaya dia boleh bergerak tanpa mencederakan dirinya. “Sejak kecil, saya cuba berdikari dan tidak terlalu bergantung dengan orang lain. Saya belajar menghidupkan televisyen dan radio, mengambil telefon bimbit, melayari internet dan menggunakan komputer,”katanya.

Claudio memegang pen menggunakan mulut, mengendalikan telefon dan tetikus dengan bibir serta mempunyai kasut khas yang memudahkan pergerakannya ketika berada di luar rumah. Sikap berdikarinya menyaksikan dia berjaya di sekolah dan universiti sehingga melayakkannya bergelar akauntan dari State University of Feira de Santana.

“Saya tidak melihat diri saya berbeza dengan orang lain. Saya lebih yakin untuk tampil di khalayak ramai dan saya boleh katakan bahawa saya seorang penceramah awam antarabangsa yang profesional dan turut menerima jemputan dari seluruh dunia,”katanya kepada Mail Online.

Sumber : Sinar Harian

Ketagih makan lilin

SESETENGAH orang mempunyai tabiat menggigit kuku yang dianggap tidak sihat kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Tetapi, kembar berumur 50 tahun dari Bradford, England ini mempunyai ketagihan pelik akibat masalah gangguan makanan atau Pica yang menyebabkan mereka cenderung memakan bahan tertentu.



Adele mendakwa dia gemar memakan lilin sejak berumur lapan tahun dan ia langsung tidak mendatangkan kesan buruk kepada kesihatannya. Kembarnya, Anita memberitahu dia mengalami Pica ketika hamil kira-kira 24 tahun lalu.

"Saya mula mengidam objek yang berbau seperti tiket bas lama dan akhirnya menemui bau sama pada buku terpakai. Rasanya juga lebih enak seperti memakan bar coklat," katanya. Ahli psikologi, Marcia Karp memaklumkan terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang ketagih untuk mengambil 'makanan' pelik sepanjang hidup mereka.

"Sebagai contoh, Pica mungkin dialami sesetengah wanita hamil dan kadang-kadang disebabkan oleh defisit mineral," jelasnya kepada DailyMail.

Sumber : Sinar Harian

Bunuh anjing dalam mesin basuh

Hong Kong: Polis semalam melancarkan siasatan berhubung kes penderaan haiwan selepas seorang lelaki memuat naik gambar ke Internet yang menunjukkan dia membunuh seekor anjing dengan memerangkapnya di dalam mesin basuh.

Gambar itu yang dimuatnaik oleh lelaki yang menamakan dirinya Jacky Lo menunjukkan seekor anjing kecil cuba memanjat keluar dari mesin basuh itu sementara satu lagi menunjukkan haiwan berkenaan bergelut untuk mengelak dirinya daripada lemas ketika mesin itu berpusing.



‘Lo’ berkata dia memuat naik gambar itu untuk menunjukkan ‘cara paling pantas untuk memandikan anjing.’ Menjawab satu soalan oleh seorang pengguna yang bertanya sama ada dia membunuh haiwan itu, ‘Lo’ menjawab dalam ruang komen di bawah gambar itu: “Ya. Ia sudah mati.

Anda mahu melihatnya?” Hampir 20,000 pengguna Internet di Hong Kong menandatangani petisyen menerusi online menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap lelaki itu. - Agensi

Sumber : Harian Metro

Ibu sumbat dua mayat bayi dalam peti sejuk

Serville (Sepanyol): Seorang wanita akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh selepas dua mayat anak yang baru dilahirkannya ditemui di dalam peti beku. Kedua-duanya ditemui berbungkus dalam plastik oleh bapa mereka ketika membersihkan peti berkenaan.

Satu mayat itu dipercayai disimpan di dalam peti itu sekurang-kurangnya sejak 18 bulan lalu. Polis berkata, kedua-dua bayi itu dilahirkan hidup tetapi dibunuh. Wanita berkenaan mengaku melahirkan bayi pertama di dalam tab mandi tetapi mendakwa keguguran.

Wanita itu berkata, dia menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan suami kerana bimbang lelaki berkenaan berang disebabkan mempunyai anak yang ramai. Selepas mayat itu ditemui, polis melancarkan gerakan mencari di sekeliling rumah pasangan itu, termasuk di laman dan telaga.

Wanita itu yang hanya dikenali sebagai Sara LH berkata, dia meletakkan mayat anaknya di dalam peti beku itu kerana tidak sanggup untuk berpisah dengan mereka.

Sumber : Harian Metro

Lawak bodoh dikecam

Riyadh: Seorang lelaki dipercayai warga Saudi meletakkan seorang bayi di dalam periuk yang penuh dengan sayur-sayuran sebelum menggunakan sudip untuk mengacau peiuk berkenaan. Sambil mengacau dia berkata: “Ini yang akan kami makan malam ini.”



Rakaman video itu yang disiarkan media tempatan menujukkan bayi itu yang hanya berusia empat bulan, dimasukkan ke dalam periuk itu dan kemudian ditutup sebelum di tempatkan di atas dapur. Kemudian kedengaran suara seorang wanita yang menyuruhnya berhenti berbuat demikian.

Akhbar Sabq yang melaporkan kejadian itu bagaimanapun tidak menyebut di mana rakaman itu dibuat dan tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu bergurau atau serius.

Bagaimanapun, pembaca mengecam tindakan lelaki itu serta menggesa pihak berkuasa menjejaki dan menghukumnya. Seorang pembaca menulis: “Hati sebahagian besar manusia kini sudah keras seperti batu. Semoga Allah tidak mengampunkan dosanya.” - Agensi

Sumber : Harian Metro