Sunday, 31 August 2014

Kepercayaan 'halang' ubat anak

London: Sepasang ibu bapa Jehovah’s Witness diburu polis di England dan Perancis kerana melarikan anak lelaki mereka berusia lima tahun yang nazak daripada hospital dipercayai disebabkan enggan budak itu diberikan pemindahan darah yang bertentangan dengan kepercayaan mereka. Brett King dan isterinya Naghmeh dipercayai membawa Ashya bersama enam lagi anak mereka berusia antara dua hingga 23 tahun menaiki feri ke Cherbourg, Perancis, kelmarin tidak lama selepas kanak-kanak itu menjalani pembedahan untuk membuang tumor barah sebesar limau tangerin yang agresif di otaknya.



Rakaman CCTV menunjukkan King, 51, membawa Ashya keluar menggunakan kerusi roda dari Hospital Awam Southampton dan doktor bimbang tindakan itu memudaratkan kanak-kanak terbabit berikutan tiub makanannya bakal kehabisan bateri. Pembantu ketua konstabel Chris Shead memberi amaran tindakan pasangan berkenaan mampu membahayakan nyawa cahaya mata mereka. “Kami tidak tahu sama ada mereka mempunyai bateri tambahan atau tahu cara untuk mengecas bateri yang ada. Jika tidak keadaan Ashya pasti akan semakin teruk,” katanya.

Jurucakap Pejabat Perhubungan Awam Jehovah’s Witness bagaimanapun menafikan tindakan mereka bermotifkan kepercayaan agama sebaliknya menganggap tindakan itu akibat rasa terdesak bagi mencari ubat bagi merawat keadaan Ashya. Rakan keluarga itu berkata, King dan Naghmeh sukar menerima diagnosis doktor bahawa kanser itu mungkin menyerang anak mereka dan menjangkakan kanak-kanak itu hanya mampu hidup empat bulan lagi. - Agensi

Summary : Kasih ibu...Sanggup lakukan apa sahaja untuk menjaga kesihatan anaknya.

Sumber : Mingguan Metro